Skip to main content

Berita Terkini

22 Januari 2024

Penganugerahan Diploma Kehormat Seni Kraf Batik (RPA)

MERAFAK SEMBAH DAN SETINGGI-TINGGI UCAPAN TAHNIAH

Khamis | 18 Januari 2024

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj hari ini dianugerahkan Diploma Kehormat Seni Kraf Batik oleh Kraftangan Malaysia melalui Institut Kraf Negara (IKN). Penganugerahan Diploma Kehormat Seni Kraf Batik tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhormat Tuan Khairul Firdaus bin Akhbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Istana Negara.

Diploma Kehormat itu merupakan penganugerahan tertinggi di IKN, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan jasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku memartabatkan industri kraf negara khususnya dalam bidang kraf tekstil batik. Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga telah menghasilkan 30 koleksi batik bertemakan Sentuhan Permaisuri: Eksplorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura sepanjang tiga tahun penglibatan baginda di IKN sejak 2020.