Berita Terkini
03 November 2023
Istiadat Konvokesyen KE-21 Institut Kraf Negara
Kuala Lumpur, Pada 2 November 2023, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia hari ini mengadakan Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-21 bertempat di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Istiadat Konvokesyen ini merupakan pengiktirafan ke atas kejayaan para graduan yang telah menamatkan pengajian dalam bidang kraf bagi sesi 2022/2023.
Istiadat Konvokesyen disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mewakili dan membacakan teks ucapan istiadat konvokesyen Yang Berhormat Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Istiadat Konvokesyen kali ini, melibatkan seramai 115 orang graduan meliputi 72 orang graduan daripada Program Diploma Seni Kraf, 8 orang graduan Program Sijil Seni Kraf dan 27 orang graduan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam serta Seni Kraf Rotan. Selain itu, seramai 8 orang graduan daripada Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam turut menerima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.
Turut hadir ke Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara ke-21 ialah Yang Berusaha Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berusaha Puan `Ainu Sham binti Haji Ramli, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia serta Encik Shamsul Azizi bin Samsudin, Pengarah Kanan Institut Kraf Negara.